Custom Search

Friday, September 12, 2008

Penumpang & pendatang

An interesting piece from Syed Imran.

Syed Imran is a former journalist of Bernama and press secretary to minister in the Prime Minister Department.

Syed Imran blogs can be reached at http://kudaranggi.blogspot.com


Syed Imran blogged:

Monday, September 08, 2008 Antara pendatang dan penumpang

"Pada mulanya saya agak keberatan nak ulas kekecohan yang berpunca ekoran
daripada kenyataan ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang bernama
Ahmad bin Ismail. Sama ada benar atau tidak apa yang didakwa dikatakan
olehnya mengenai rakyat Malaysia keturunan Cina bukan persoalannya kerana
isu tersebut sudahpun merebak dan mengapi-apikan keadaan.

Jika tidak ditangani dengan cermat, teliti dan bijak, isu itu boleh
ditangguk dalam air yang keruh oleh anasir-anasir yang ingin melihat negara
ini hancur serta mengundang campur tangan kuasa asing. Dalam zaman dunia
tanpa sempadan dan liputan meluas dan segera oleh media elektronik
antarabangsa, apa yang berlaku di sesebuah negara itu tidak dapat disembunyi
atau dinafikan.

Isu pokok yang dibangkitkan oleh Ahmad Ismail membabitkan persoalan
"menumpang" iaitu rakyat Malaysia keturunan Cina adalah penumpang di negara
ini. Beliau menjelaskan bahawa ia merujuk kepada zaman pra-Merdeka.
Bagaimanapun, sensitiviti rakyat Malaysia keturunan Cina telah terguris.

Saya tidak mengenali secara peribadi Ahmad Ismail, tetapi kenal agak rapat
dengan Allahyarham abangnya, Abdul Rahim Ismail, pemilik Syarikat Pembinaan
Rahim yang pada satu ketika dahulu agak terkenal sebagai sebuah firma
pembinaan Bumiputera yang unggul di Pulau Pinang. Saya tidak tahu apa dah
jadi dengan syarikat itu selepas Abdul Rahim meninggal dunia.

Secara peribadi, saya tidak setuju dengan apa yang didakwa dikata oleh Ahmad
Ismail atas beberapa sebab.

Bagi saya, hampir 90 peratus rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung,
adalah pendatang dan kita semua sebenarnya menumpang hidup di bumi Allah.
Kita bukan pemilik kekal tetapi hanya menumpang.

Sebagai contoh, saya sendiri adalah keturunan pendatang yang menumpang hidup
di bumi bertuah ini. Datuk nenek di sebelah bapa saya berhijrah dari Makkah
dan dari Brunei ke sini manakala di sebelah ibu pula dari Hadhramut, Yaman.
Kami adalah pendatang dan penumpang sama seperti hampir semua penduduk
negara ini khususnya di Pulau Pinang.

Bagi Ahmad Ismail, dia juga datang dari keluarga pendatang dan menumpang
hidup di negara ini. Ahmad Ismail tidak boleh menafikan hakikat bahawa datuk
neneknya adalah pendatang dari India untuk menerokai penghidupan yang lebih
baik dan selesa di bumi bertuah ini.

Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad juga tergolong dalam kategori yang sama.
Datuknya di sebelah ibu adalah pendatang dari wilayah Guandong, China.
Pendek kata, datuk Pak Lah iaitu bapa Allahyarhamah Kailan bernama Hassan
Salleh atau Hah Su Chiang adalah seorang pendatang. Beliau berhijrah ke
Tanah Melayu dari wilayah Guandong (Kwantung) pada pertengahan abad ke-19
dan menetap di Bayan Lepas sebagai pekebun getah, pesawah padi dan kemudian
saudagar intan berlian.

Najib Tun Razak, Timbalan PM juga berasal daripada keluarga pendatang iaitu
dari Sulawesi, Indonesia atau lebih senang disebut orang Bugis manakala
sepupunya Hishamudin Hussein tidak terlepas daripada darah keturunan Turki.

Datuk nenek mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad juga pendatang dari Kerala,
India manakala ibu Almarhum Tunku Abul Rahman berasal dari negeri Siam
(Thailand).

Kesultanan Melayu Melaka pun dibuka oleh orang pendatang dari Sumatra
bernama Parameswara, seorang anak raja atau bangsawan beragama Hindu.

Dalam sejarah kesultanan Melayu, kita dapati ada yang ditubuh oleh pendatang
dari Bugis dan ada pula dari Hadhramut selain dari Minangkabau.

Hampir semua orang Melayu di sini berasal dari luar Tanah Melayu tetapi
diiktiraf sebagai "bangsa Melayu" oleh Perlembagaan Persekutuan. Kita adalah
"Melayu mengikut takrifan Perlembagaan" iaitu beragama Islam, mengamalkan
adat resam Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu. Malangnya, bahasa Melayu
nampaknya dimatikan oleh orang Melayu (UMNO) sendiri apabila dinamakan
sebagai bahasa Malaysia.

Oleh itu, orang Arab seperti Syed Hamid Albar dan saya, orang Aceh seperti
Sanusi Junid, orang India seperti Kader Sheikh Fadzir dan Nor Mohamed
Yakcop, orang Bugis seperti Najib, orang Minang seperti Rais Yatim, orang
Jawa seperti Mohamad Rahmat dan yang lain seperti dari Madura, Pulau Boyan,
Siam, Burma, Yunnan (China) dan selatan Filipina dengan mudah boleh diiktirf
sebagai "Melayu".

Mereka diterima sebagai orang Melayu tidak kira sama ada mereka bertutur
bahasa Melayu atau tidak di rumah umpamanya si Arab berbahasa Arab, si Jawa
berbahasa Jawa dan si Minang berbahasa Minang atupun si Mamak berbahasa
Tamil.

Bahasa-bahasa yang disebut itu bukan bahasa Melayu dan jika dilihat dari
sudut Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diterima atau diiktiraf sebagai
bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, atas kepentingan dan faktor politik,
semuanya diterima sebagai Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada orang Cina yang juga
kaum pendatang sama seperti orang Arab, India, Aceh, Minang, Batak,
Mandailing, Jawa, Madura mahupun Bugis, sebagai menumpang di negeri ini.
Kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan besar datuk nenek orang Cina
telah berhijrah ke negeri ini semasa Kesultanan Melayu Melaka, bahkan
kesultanan-kesultanan terdahulu di Kedah mahupun Terengganu dan Kelantan
serta semasa Francis Light berjaya menipu Sultan Kedah untuk menduduki Pulau
Pinang pada 1786.

Kita adalah kaum pendatang yang menumpang hidup di negeri ini. Golongan yang
boleh diiktiraf sebagai orang asal atau anak bumi tulen adalah mereka yang
kita kenali sebagai Negrito, Jakun, Semang, Jahut, Orang Laut, Orang Darat,
Senoi dan suku kaum masyarakat Asli lain yang masih menjadi penghuni
belantara.

Kita tidak harus lupa akan sumbangan dan pengorbanan semua kaum dan suku
kaum untuk membangunkan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi,
kemasyarakatan, keselamatan dan yang paling penting kesepakatan dan
perpaduan. Semua orang yang kena dan seharusnya membayar cukai, berbuat
demikian tanpa mengira kaum atau asal keturunan, sama ada pendatang atau
penumpang."


Now we know where all these racists came from.

No comments: